suria

Rangkaian Perbankan Negara Masih Selamat - Wan Junaidi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
MELAKA: Rangkaian perbankan terutamanya perbankan internet di negara ini masih berada dalam keadaan selamat kerana kes menggodam mesin juruwang automatik (ATM) yang berlaku pada masa ini hanya membabitkan pencerobohan secara fizikal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kes itu hanya melibatkan pencerobohan terhadap sesebuah mesin ATM sahaja dan tidak membabitkan pencerobohan terhadap sistem rangkaian komputer bank terbabit.

"Saya cukup yakin sistem rangkaian perbankan kita masih selamat, orang ramai tidak perlu bimbang," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini, Selasa.

Sebanyak 70 bekas polis dan anggota pasukan 'Home Guard' menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di majlis itu. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Sebanyak 17 ATM dipercayai digodam sindiket Amerika Latin melibatkan bank di cawangan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor Baharu pada minggu lepas.

Wan Junaidi berkata polis juga telah mengenal pasti hanya sejenis mesin ATM yang terlibat dalam kes itu dan akan meminta pihak bank bagi menggantikan mesin tersebut.

"Kita percaya kumpulan ini mensasarkan hanya mesin jenis ini yang mudah digodam dan dimasukkan virus...identiti mesin ini kita rahsiakan untuk tujuan keselamatan," katanya.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat melalui rakaman kamera litar tertutup di bank terbabit, namun sehingga kini tiada lagi tangkapan dibuat.

"Kita cukup yakin suspek masih berada di Malaysia dan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk imigresen bagi mengesan suspek," katanya.

Wan Junaidi berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu dilakukan antara dua hingga tiga kumpulan yang berasingan dan siasatan masih dijalankan sama ada kumpulan terbabit beroperasi di bawah satu sindiket yang sama.

Katanya jenayah terbabit juga mirip dengan kes godam mesin ATM yang berlaku di kawasan lapangan terbang pada akhir tahun 90an.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain