KOTA BAHARU: Isu tikus berkeliaran di hospital dan kampus kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dianggap selesai setelah pengurusan universiti itu dan Majlis Perbandaran Kota Baharu mengambil tindakan pro aktif. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihak USM sendiri telah melantik syarikat swasta untuk menjalankan pemungutan sampah dua kali sehari iaitu pada pukul 7 pagi dan 7 malam di kawasan kampus kesihatannya. "USM sendiri telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 yang digunakan sejak Oktober tahun lalu hingga September tahun ini bagi tujuan itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu. Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, kafeteria Desa Siswa Nurani di kampus itu yang sebelum ini dikatakan menjadi antara lokasi tikus berkeliaran juga telah diberi status gred A. "HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) juga telah memperkenalkan konsep tiada sampah selepas 10 malam untuk mengelak sampah terbiar hingga menjadi tempat pembiakan tikus," katanya. Katanya, USM juga telah menjalankan kerja-kerja menutup lubang-lubang yang berisiko menjadi sarang tikus selain menggunakan racun di kawasan yang sesuai menggunakan kaedah itu.