suria

Ketibaan Jenazah Meling Akhiri Penantian Keluarga 78 Hari

Ahli keluarga Meling ketika menunggu ketibaan jenazahnya di KLIA, pagi Jumaat.
BINTULU: Ketibaan jenazah Meling Mula, mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 di Lapangan Terbang Bintulu (LTB) pada Jumaat mengakhiri penantian keluarganya selama 78 hari sejak nahas itu berlaku 17 Julai lepas.


Jenazah Meling, 48, tiba di LTB pada 12.25 tengah hari menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Charlie C130 dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sepatutnya tiba pada 11.30 pagi tetapi terlewat hampir sejam.

Turut mengiringi jenazah di dalam pesawat berkenaan ialah balu Meling, Simbut Kedit, 39 serta tiga orang anak iaitu Maryline Sindun, 18, Benedict Bana, 15 dan Gabriel, 8.

Selain anggota keluarga, turut mengiringi jenazah dari Kuala Lumpur ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah dan Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Sebaik tiba di LTB, jenazah disembahyangkan mengikut agama Kristian oleh Pastor Richard Lai dan seterusnya dibawa ke rumah mendiang iaitu di Flat Sungai Plan,0-2-12, Jalan Tanjung Kidurong.

Jenazah ditempatkan di rumah berkenaan buat sementara sebelum dibawa ke Dewan Sungai Plan untuk upacara penghormatan terakhir oleh waris keluarga dan sahabat.

Acara 'Malam Rabat' juga akan diadakan pada malam ini di Dewan Sungai Plan iaitu acara tradisi masyarakat Iban sebelum jenazah disemadikan.

Mendiang Meling yang juga pekerja luar pantai untuk syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur akan disemadikan pagi esok di Tanah Perkuburan Lembaga Kemajuan Bintulu, Batu 2, di sini.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 itu.

Meling Mula, Bintulu, Malam Rabat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain