KUALA LUMPUR: Polis akan membantu memantau perhimpunan yang dirancang untuk membantah kenaikan minyak di Dataran Merdeka pada pukul 4 petang, Sabtu. Bagaimanapun Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa, berkata pihak polis tetap melihat perhimpunan itu sebagai haram kerana pihak penganjur tidak mengemukakan permohonan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. "Saya tidak menggalakkan orang ramai daripada menghadiri perhimpunan tersebut. Tetapi jika mereka memutuskan untuk pergi, kita tidak ada masalah selagi mereka berada dalam keadaan aman dan mematuhi garis panduan di bawah akta. "Kita akan mengambil langkah yang perlu bagi menyiasat pihak penganjur kerana mereka tidak mengemukakan notis," katanya kepada The Star, Jumaat. Difahamkan polis akan dikerah berada di sekitar Dataran Merdeka dan kawasan berhampiran pada hari Sabtu, tetapi lebih kepada pemantauan pasif. Butiran mengenai perhimpunan tersebut telah disebarkan di aplikasi WhatsApp petang Jumaat. Namun masih belum jelas siapa penganjur sebenarnya. Pada Rabu lalu kenaikan harga petrol RON95 dan diesel diumumkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.30 dan RM2.20. Walaupun mendapat tindak balas negatif oleh pemilik kenderaan untuk kenaikan harga ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, Bajet 2015 akan mengimbangi kenaikan harga dengan "meningkatkan BR1M" antara sebahagian daripada langkah-langkah lain. "Ia adalah satu kenaikan yang sangat minimum dalam harga petrol. Tunggu bajet. Ia akan menangani beban dengan meningkatkan BR1M dan langkah-langkah lain, " jelas Hassan.