KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yakin pemilik blog kontroversi, Alvin Tan akan kembali ke negara ini bagi menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa beliau yakin waran tangkap mungkin tidak dapat diserahkan tetapi Tan pastinya tidak akan membiarkan bekas teman wanitanya, Vivian Lee untuk menghadapi pertuduhan tersebut seorang diri. "Jika dia berani untuk membuat kenyataan terhadap polis dan mahkamah, dia tidak akan meninggalkan pasangannya seorang diri untuk menghadapi pertuduhan itu," katanya kepada Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Abdul Rashid Daud di sini Jumaat. Ketika ditanya oleh Abdul Rahim dimana lokasi Lee (yang tidak hadir), Wan Shaharuddin berkata, Lee dikecualikan daripada hadir tetapi memberitahu bahawa dia (Lee) akan menghadiri prosiding akan datang kerana kes itu melibatkan kepentingan awam. Pada 13 Jun, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Tan apabila dia gagal untuk mengembalikan pasportnya. Pada 22 Ogos, mahkamah melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Tan kerana gagal hadir ke mahkamah untuk kali ketiga. Sejak itu, Tan membuat kenyataan di laman sosial dan dilaporkan sedang mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat.