suria

Anak Bongsu Tambi, Ariza Selamat Dikebumi

Ahli keluarga memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Muhammad Afruz disemadikan, Jumaat.
KUCHING:Jenazah Muhammad Afruz Tambi, anak bongsu pasangan Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee, mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, pada 2.31 petang, Jumaat.

Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur bapanya, Tambi, 49, ibunya, Ariza, 46, dan tiga adik-beradiknya yang turut terkorban dalam tragedi pesawat MAS yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada 17 Julai lepas.

Ariza dan anak sulungnya, Muhammad Afif, 19, disemadikan pada 22 Ogos lepas sebelum diikuti Tambi pada 9 September lalu.

Jenazah Muhammad Afzal, 17, dan Marsha Azmeena, 15, dikebumikan pada 19 September lepas.

Sebelum itu keranda jenazah Muhammad Afruz, 13, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 11.35 pagi menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sejurus tiba, jenazah diberi penghormatan penuh adat ketenteraan dan diusung oleh sembilan anggota Rejimen Keempat Kor Armor Diraja sebelum dibawa menggunakan van jenazah ke Masjid Jamek Kuching untuk disembahyangkan.

Upacara solat jenazah diketuai Imam Bahagian Masjid Islam Sarawak, Abdul Aziz Wan Yusof, selepas selesai solat Jumaat.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof; Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Allahyarham Muhammad Afruz, merupakan anggota keluarga terakhir bagi keluarga Tambi yang berasal dari Kuching itu, yang mayatnya dikenal pasti.

Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH17 itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal. 


MH17, Muhammad Afruz, Kuching

Artikel Lain