JOHOR BAHARU: Seorang penarik kereta berusia 32 tahun ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di tempat letak kenderaan Hospital Sultanah Aminah di sini awal pagi Jumaat. Timbalan Ketua Polis I Daerah Johor Baharu Selatan, Supritendan Abdul Wahib Musa berkata mangsa Asif Khan Ayob ditemui orang awam pada kira-kira pukul 1.40 pagi tadi. "Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berasal dari Pekan Nenas, Pontian itu dipercayai baru selesai menjalankan tugas menarik sebuah kenderaan yang gagal dibayar pemiliknya sebelum itu," katanya ketika dihubungi. Menurut beliau, mangsa ditemui berseorangan dan berpakaian lengkap di dalam kenderaan yang berkunci serta kesemua tingkap ditutup rapat. Pihak polis katanya akan menyiasat dari semua sudut berhubung kematian lelaki itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubung pihak polis di talian hotline 07-2212999 atau pergi ke balai polis berdekatan mereka.