PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin mahu polis mengambil tindakan terhadap Penasihat Undang-Undang PKR, Latheefa Koya berhubung 'tweet' yang dilihat sebagai meminta beliau dihapuskan. Semuanya bermula apabila Bung, di Parlimen, pada Selasa berkata bahawa semua mereka yang menentang Akta Hasutan perlu ditangkap dan didakwa. Latheefa membalas artikel tersebut dengan 'tweet': "Kita harus menghapuskan MP Kinabatangan dahulu sebelum kita mansuhkan Akta Hasutan." (Beliau kemudiannya memadam tweet tersebut). Pengguna Twitter bertindak memberitahu Bung mengenai kenyataan Latheefa dengan berkongsi paparan skrin tweet tersebut di akaun twitter Bung dan bertanya jika perkataan yang digunakan oleh Latheefa membawa maksud ancaman kematian. Bung menjawab: "@Sandran41H @LatheefaKoya Saya meminta pihak @PDRMsia menyiasat kenyataan @LatheefaKoya utk menghapuskan Saya, ini satu ugutan melampau." Latheefa kemudiannnya telah menulis: "Kebudak-budakan! PDRM bukan pengawal peribadi anda," dan disertai oleh Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran yang mempersoalkan taraf anggota Parlimen pada masa sekarang. Bung membalas dengan menulis tweet meminta Latheefa 'hanya memberi penjelasan' memandangkan pada masa kini 'semua orang mampu untuk membunuh sesiapa sahaja'. Di lobi Parlimen, Bung dilaporkan memberitahu pemberita bahawa beliau telah memberikan Latheefa 24 jam untuk memohon maaf di atas kenyataan beliau. Latheefa telah memadam apa yang ditulis di Twitter beliau tetapi tidak menyiarkan sebarang permohonan maaf.