Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata orang ramai boleh membuat semakan bermula Selasa dengan menghantar nombor pendaftaran kenderaan mereka ke talian 013-6663255.
"Mana-mana pemilik atau pemandu yang merasakan kenderaan mereka telah ditunda boleh membuat semakan menggunakan aplikasi ini dan dari situ kita akan maklumkan kepada mereka lokasi simpanan kenderaan tunda dan jumlah bayaran kompaun yang mereka perlu bayar.
"Untuk memastikan orang ramai mengetahui kemudahan aplikasi itu, DBKL juga telah memasang 30 notis pemberitahuan di sekitar pusat bandar terutamanya di kawasan 'hot spot' penundaan kenderaan iaitu di Bukit Bintang, Jalan Pudu dan Bangsar," katanya.
Ahmad Phesal berkata penubuhan Depoh Simpanan Kenderaan Tunda Jalan Galloway itu bagi memudahkan pemilik kenderaan yang ditunda di sekitar Kuala Lumpur menuntut kenderaan mereka di lokasi yang lebih dekat.
"Sebelum ini, ramai orang merungut terpaksa mengambil kenderaan mereka jauh di Depoh Simpanan Kenderaan Tunda di Jinjang. Jadi, kali ini kita tubuhkan di sini (Jalan Galloway) dengan waktu operasi 24 jam untuk memudahkan mereka membuat tuntutan kenderaan," katanya.
Beliau berkata dari Januari hingga September tahun ini, sebanyak 6,105 buah kenderaan yang melakukan kesalahan halangan telah ditunda membabitkan jumlah bayaran kompoun sebanyak RM143,370.
Justeru, Ahmad Phesal berharap dengan tindakan penguatkuasaan dan kemudahan semakan dan tuntutan kenderaan tunda yang lebih dekat ini, akan memberi pengajaran dan kesedaran orang ramai untuk tidak melakukan kesalah trafik di ibu kota.