Beliau berkata bagi tujuan itu, persefahaman antara kedua-dua negara amat penting, khususnya apabila mendepani kemungkinan dari segi sensitiviti pada peringkat kemudian kelak.
Malah, sebelum ini, tegasnya Malaysia dan China telah berikrar untuk bekerjasama dalam membina keupayaan industri pertahanan.
"Kedua-dua negara sebenarnya telah memeterai perjanjian yang disaksikan oleh perdana menteri kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Berhubung lawatan Jiechi dan delegasinya ke negara ini, Hishammuddin percaya ia satu permulaan baik bagi Malaysia sebelum menjadi pengerusi Asean tahun depan.
Katanya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak wujud secara automatik, tetapi antara lain, hasil daripada lawatan dan persefahaman yang dipupuk.
"Saya berasa amat gembira dengan lawatan tuan yang terutama (Jiechi), tetapi saya percaya apa yang kita telah persetujui perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang konkrit," katanya.
Sementara itu, Jiechi menegaskan walaupun lawatannya adalah singkat, ia mencapai objektifnya dan beliau berpeluang mengadakan perbincangan termasuk dengan Najib, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan.
Katanya kedua-dua negara telah menikmati kerjasama erat dalam pelbagai bidang sejak sekian lama, namun beliau mencadangkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan pelancongan dipertingkatkan.
Jiechi berkata kini terdapat kira-kira 10,000 pelajar China sedang melanjutkan pelajaran di Malaysia dan kira-kira 6,000 pelajar Malaysia sedang menuntut ilmu di kolej-kolej di China.
Beliau juga yakin hubungan dua ekonomi dua hala akan mencapai sasaran perdagangan US$150 bilion menjelang 2017 berdasarkan kekukuhan ekonomi kedua-dua negara.
Jiechi berkata China juga mengalu-alukan penyertaan Najib pada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan berlangsung di Beijing November ini.
"Kami percaya penyertaan beliau akan memainkan peranan penting bagi kejayaan mesyuarat itu," katanya.
Jiechi tiba pagi ini untuk lawatan kerja dua hari di Malaysia.