suria

Penahanan Tiga Lelaki Rungkai Kes Kematian Guru Di Kundasang, Ranau

KOTA KINABALU: Polis berjaya merungkaikan kes kematian seorang guru sekolah rendah di Kundasang, Ranau, pada Jumaat lepas selepas memberkas tiga lelaki di sekitar daerah itu, Isnin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Salehudin Abdul Rahman berkata, kesemua lelaki berusia antara 17 hingga 27 tahun itu ditahan antara pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam di dua lokasi berasingan di sekitar Kundasang. 

"Dua suspek ditahan di sebuah kereta manakala seorang lagi di sebuah rumah dan kesemua mereka tinggal di kawasan yang sama dengan mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. 

Beliau berkata hasil penahanan kesemua suspek, pihaknya menemui beberapa barangan milik mangsa termasuk sebuah buku bank. 

Menurutnya, ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu. 

Salehudin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh. 

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilaporkan berkata polis percaya kes kematian guru itu berpunca daripada rompakan dan samun oleh suspek yang dikenali mangsa. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, Masinah Samadi, 50, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala dan badan di sebuah rumah berhampiran kuarters Sabah Electricity Sdn Bhd, Kundasang, Ranau. 

Mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh suaminya yang baru pulang dari kerja.

Artikel Lain