suria

CB204: TLDM Akan Tubuh Lembaga Siasatan

Anak kapal bot tempur CB204, BM TMK Ince anak Ewin dipeluk oleh Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar sebaik tiba di Jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Rabu. -fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan sebuah lembaga siasatan berhubung insiden kehilangan bot tempur CB204 lebih 30 jam di perairan Mengalum, Ahad lepas.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata lembaga itu akan menyiasat semua aspek termasuk kerosakan gear kemudi bot berkenaan sehingga ia gagal dikesan selepas terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring, KD Paus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyambut ketibaan lima anak kapal Bot Tempur CB204 yang berjaya tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar kira-kira jam 12.50 tengah hari, diiringi Bot Tempur CB211 di sini Rabu.

Bot tempur CB204 dengan tujuh orang anak kapal, yang belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada pukul 5 pagi Ahad lepas untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi.

Bagaimanapun, Bot tempur CB204 berjaya ditemui pada petang Isnin lepas dan mula ditunda oleh KD Ganas untuk di bawa balik ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada pukul 10 malam, Selasa.

Dua daripada tujuh anak kapal bot berkenaan bagaimanapun diterbangkan lebih awal dan tiba kira-kira jam 6.13 petang semalam menggunakan helikopter Super Lynx di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu kerana masalah kesihatan dan seterusnya menerima rawatan di Hospital Wilayah TLDM Kota Kinabalu. 

Mohammad Rosland berkata selain memeriksa dan memperbaiki CB204, bot tempur dalam kelas yang sama juga akan diperiksa bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna.

Beliau berkata CB204 diperiksa dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan pelayaran.

Mengenai perasaannya selepas anggota CB204 kembali dengan selamat hari ini, Mohammad Rosland berkata beliau amat seronok dan gembira manakala kebimbangan yang dirasainya sejak kehilangan bot tempur dan tujuh anak kapalnya berakhir.

Katanya sejak Ahad lalu beliau memang tidak lena tidur dan tidak berselera makan kerana bukan sahaja bimbangkan keselamatan anak kapal tetapi juga semua anggota keluarga mereka yang menunggu di sini.

Artikel Lain