suria

Tugas Bawa Balik CB204 Paling Mencabar - Pegawai Pemerintah

Bot tempur CB204 yang membawa lima anak kapal berjaya ditemui selepas hilang lebih 30 jam di perairan Mengalum Sabah ketika tiba di Jeti Pengkalan Wilayah Laut Dua tengahari Rabu. -fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Pegawai Pemerintah KD Ganas, Lt Komander Che Mohd Fakhrul Azizi Che Nah menyifatkan tugas membawa pulang kru bot tempur CB204 ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini tengah hari tadi sebagai paling mencabar baginya sejak menyertai TLDM lapan tahun lalu.

Namun beliau berkata pelayaran mengendalikan KD Ganas dan menunda bot itu selama lebih 21 jam merupakan kebanggaan yang tidak mudah dilupakannya.

"Kami mencari lokasi bot tempur CB204 dengan mengesan posisi longitud dan latitud dan seterusnya bergerak menuju koordinat itu. Alhamdulillah, kerjasama dari pusat operasi dan kapal yang ditugaskan berjaya mengesan isyarat dari CB204.

"Kami mencari posisi berkenaan dan menjumpai CB204," katanya kepada pemberita di Pangkalan TLDM, Sepanggar di sini Rabu.

Bot itu ditemui petang Isnin lepas setelah dilaporkan hilang lebih 30 jam di Perairan Mengalum, Sabah. Ia tiba di Pangkalan TLDM di sini pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Che Mohd Fakhrul Azizi berkata keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak antara tiga hingga empat meter selain gangguan komunikasi perhubungan adalah antara cabaran yang menyukarkan operasi penundaan yang turut diiringi KD Lekiu.

"KD Ganas memang berada di kawasan operasi di perairan berdekatan pada hari kejadian dan kami bergegas ke sektor diarahkan untuk memulakan pencarian sejurus menerima arahan.

"Kami bergerak dengan kelajuan kuasa menunda pada enam knot. Setakat ini inilah pengalaman paling mencabar bagi saya sepanjang berkhidmat di TLDM," katanya yang berpengalaman hampir setahun mengendalikan aset TLDM sejak Disember tahun lepas.

Beliau bersyukur kerana usaha membawa kesemua kru bot itu dipermudahkan bukan sahaja dari sudut cuaca yang baik, namun mendapat kerjasama daripada 32 anggota KD Ganas.

Tujuh kru bot berkenaan ialah Lt Azri Bakar, BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.

Dua daripada mereka iaitu Charles Cristopher dan Steven Hudson yang mengalami masalah kesihatan telah diterbangkan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dengan pesawat Super Lynx kira-kira pukul 6.13 petang Selasa.

Charles dilaporkan mengalami sakit perut (gastrik) manakala Steven terkena renjatan elektrik dan kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain