Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata tindakan membatal atau tidak mengeluarkan permit kepada penganjur berkenaan masih boleh dilakukan sekiranya mereka tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Kita belum terima beberapa kelulusan daripada beberapa agensi...dalam festival seperti ini, jika penganjur mengikut garis panduan sedia ada, polis dan kastam akan berikan kelulusan.
"Selepas itu penganjur perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, jadi mereka kena patuh...MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) akan mempertimbangkan permohonan itu tertakluk kepada kelulusan awal," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu Ean Yong Hian Wah dalam satu kenyataan menafikan kerajaan negeri mengenakan syarat tambahan bagi permohonan permit festival tersebut.
Katanya, permit hiburan sementara yang perlu dimohon penganjur adalah proses biasa dan syarat kelulusan daripada polis dan kastam juga bukan perkara baharu untuk membuat permohonan itu.
"Laporan media semalam bahawa kerajaan negeri mengenakan syarat tambahan untuk Octoberfest 2014 perlu diperbetulkan.
Syarat-syarat yang dikenakan pihak berkuasa tempatan adalah sama dengan tahun-tahun sebelum ini dan tiada syarat tambahan baharu...jika penganjur memenuhi syarat yang sama, tiada sebab permit tidak akan diberikan," katanya.