suria

Wisma Putra Terima Permohonan Rasmi Ekstradisi Rizalman

Muhammad Rizalman Ismail.
PUTRAJAYA: Kementerian Luar menerima permohonan rasmi untuk mengekstradisi Pegawai Waran Dua Muhammad Rizalman Ismail, bekas pembantu staf di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, yang dituduh melakukan pecah rumah dan menyerang seorang wanita di Wellington.

Dalam kenyataan pada Khamis, Wisma Putra berkata pihaknya menerima permohonan rasmi itu pada 3 Oktober, kira-kira lima bulan selepas kes itu berlaku.

Kata Wisma Putra, sejajar dengan Akta Ekstradisi 1992 (Malaysia), pihaknya mengemukakan permohonan tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Memandangkan wujudnya hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dan New Zealand, serta mengambil kira kepentingan awam, permohonan ekstradisi ini akan ditangani mengikut lunas undang-undang sewajarnya," kata Wisma Putra.

Sejajar dengan itu, Wisma Putra dalam kenyataan berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia 'melengah-lengahkan pengendalian perkara itu'.

Muhammad Rizalman ditahan polis New Zealand pada 9 Mei dan dibawa ke mahkamah pada hari berikutnya untuk menghadapi tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat merogol seorang wanita berusia 21 tahun.

Dia dan keluarganya dibawa balik ke Malaysia pada 22 Mei dan sejurus selepas itu, Kementerian Luar memulakan siasatan terhadap kes berkenaan.

Wisma Putra juga berkata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan New Zealand untuk memastikan hak semua pihak yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dihormati dan dilindungi.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain