suria

Peningkatan Bilangan Kanak-Kanak Masalah Mental Membimbangkan - Dr Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
PUTRAJAYA: Bilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah mental pada usia lima hingga 15 tahun didapati meningkat di negara ini dan keadaan ini membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam. 

Beliau berkata, pada 1996, 13 peratus dari jumlah mereka yang mempunyai masalah mental ialah kanak-kanak dalam lingkungan usia berkenaan, dan bilangan itu meningkat ke 19.3 peratus pada 2006, dan 20 peratus pada 2011. 


"Boleh dikatakan satu dari setiap lima kanak-kanak mempunyai masalah mental dan perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan tempoh tersebut adalah fasa mereka mendapat pengetahuan, nilai kehidupan dan personaliti," katanya. 

Dr Subramaniam bercakap pada sidang media selepas merasmikan 'Asean Mental Health Campaign 2014' di sini Ahad. 

Beliau berkata, kementeriannya menyarankan supaya kesihatan mental diserap dalam satu daripada spesifikasi kesihatan keseluruhan. 

Mengulas lanjut beliau berkata, mengikut kajian kementeriannya sejak 2011 terdapat kira-kira 340,000 atau 1.8 peratus rakyat Malaysia dewasa mengalami kesihatan mental dan tidak mendapatkan rawatan. 

Jumlah mereka yang mendapatkan rawatan amat sedikit dan perkara tersebut amat membimbangkan, katanya. 

Sehubungan dengan itu, Dr Subramaniam berkata, kira-kira 900 lagi pakar psikiatris diperlukan di Malaysia bagi menyeimbangkan nisbah standard antarabangsa antara pakar dengan pesakit iaitu 1:50,000. 

Menurutnya, jumlah pakar psikiatris yang ada sekarang adalah 300 - pada nisbah 1:150,000 pesakit. 

"Sasaran baharu itu harus diperolehi secepat mungkin. 

"Antara cara untuk mendapatkan tambahan pakar psikiatris adalah melalui graduan Institut Pengajian Tinggi serta program-program lain supaya lebih ramai berminat dalam bidang ini (psikiatris)". 

Beliau berkata, pakar psikiatris yang ramai boleh ditempatkan di klinik-klinik desa atau biasa supaya mereka yang mengalami kesihatan mental boleh datang meminta nasihat atau ubatan yang sesuai. 

"Kalau 30 atau 40 tahun dahulu, orang yang mengalami masalah mental akan diasingkan dari masyarakat, tetapi sekarang kita hendak mereka bercampur dengan masyarakat sekaligus mandapatkan rawatan di klinik-klinik," katanya. 

Artikel Lain