suria

Pencerobohan Lahad Datu: Pegawai SB Mohon Kebenaran Pintas Panggilan Telefon

KOTA KINABALU: Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman memohon kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk memintas komunikasi terhadap 11 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

SAC Yusoff Mohd Amin berkata Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria meluluskan permohonan untuk pintasan komunikasi itu pada 12, 14, 15, 18 dan 28 Feb tahun lepas.

Menjawab soalan peguam Datuk N. Sivananthan, saksi itu mengakui bahawa beberapa daripada individu berkenaan hadir di mahkamah.

Beliau memberitahu demikian semasa memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang menghadapi pelbagai tuduhan berhubung pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
 
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama, Yusoff berkata pada 12 Feb tahun lepas, Mohamad Hanafiah meluluskan permohonan untuk memintas panggilan membabitkan Al Wazir Osman atau Abdul dengan nombor telefon 012-8284091 manakala kelulusan diberikan dua hari kemudian untuk memintas panggilan membabitkan dua nombor iaitu 014-2847213 dan 017-8900767, kedua-duanya dipercayai digunakan oleh seorang yang bernama Datu Agbimuddin Kiram.

Pada 15 Februri tahun lepas, beliau berkata Mohamad Hanafiah juga meluluskan permohonan bagi memintas panggilan ke atas enam individu - Salib Akhmad Emali dengan nombor telefon 019-5398122, Anwar Salib (014-8594510), Julham Rashid (017-8664394 dan 014-6774273) serta Tani Lahaddahi atau Panglima Tani (012-8388304 dan 012-8659270).

Individu lain ialah Abdul Hadi Mawan (011-25259482) dan Datu Amir Bahar atau Datu Bahang yang dipercayai menggunakan lima nombor iaitu 011-25261322, 011-19046155, 019-8729217, 017-8953979 dan 012-8104507.

Yusoff berkata Mohamad Hanafiah meluluskan permohonan memintas panggilan pada 18 Feb tahun lepas membabitkan seorang individu bernama Basil Samiul dengan nombor 019-7569906 dan 10 hari kemudian, kebenaran diberikan untuk memintas panggilan membabitkan Abd Majil Jubin (012-8066842) dan seorang wanita, Norhaida Ibnahi (013-6067588).

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

Lahada Datu

Artikel Berikut

Artikel Lain