IPOH: Seorang pemandu kereta maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ipoh-Lumut dekat Menglembu di sini, Isnin. Mangsa Nur Shuhaida Wahab, 25, berasal dari Kampung Gunung Panjang, Gopeng di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala manakala pemandu Hilux mengalami kecederaan ringan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih Ramli Lot berkata dalam kejadian pada pukul 1.27 petang itu, kereta yang dipandu Nur Shuhaida dalam perjalanan dari Batu Gajah ke Jelapang. "Nur Shuhaidah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.