suria

Adun BN Akan Dedah Bantuan Kerajaan Pusat Dalam Bajet

Mustapa Mohamed.

KOTA BAHARU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan memperincikan setiap perkara mengenai bajet defisit yang diumumkan kerajaan Kelantan dalam perbahasan mereka esok. 

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana rakyat perlu mengetahui bajet berkenaan yang langsung tidak menyebut peranan kerajaan persekutuan dalam bajet berkenaan. 
 
"Kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada kerajaan pusat. Dalam bajet sebelum ini ada dia menyentuh mengenai peranan kerajaan pusat dan kali ini tidak menyebut langsung.

"Maka esok ADUN BN akan mengupas secara terperinci supaya rakyat faham mengenai maklumat tepat. Kita rasa ada maklumat yang tidak tepat yang sengaja diputar belitkan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan bajet kerajaan Kelantan bagi 2015 di Kota Darul Naim di sini, petang Isnin.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob hari ini membentangkan bajet bagi negeri itu untuk tahun hadapan dengan defisit berjumlah RM70.69 juta.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kerajaan Persekutuan sebenarnya banyak membantu Kelantan dalam mengurangkan defisit tetapi ia masih tidak dihargai kerajaan negeri. 
 
"Kalau kita tengok di setiap tahun maka kerajaan Pusat membantu untuk membiayai defisit itu tetapi itu tidak diberi pengiktirafan oleh kerajaan Kelantan. 
 
"Saya rasa kerajaan negeri dalam konteks kerjasama perlu berlaku adil dengan memberi maklumat yang tepat," katanya.

Adun BN Kelantan, Bajet

Artikel Lain