Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sasaran itu juga bermakna tambahan 3,500 bilik darjah untuk menampung peningkatan hampir 71,000 pendaftaran tahun depan.
"Kementerian memahami kepentingan pendidikan yang berkualiti untuk kanak-kanak prasekolah bagi menyediakan mereka dalam pelbagai aspek termasuk kognitif, mental dan fizikal sebelum memasuki sekolah rendah.
"Peningkatan ini disasarkan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015," kata Muhyiddin.
Muhyiddin berkata Kementerian Pendidikan bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak berusia 4+ dan 5+ bagi memastikan setiap mereka berpeluang mendapat pendidikan berkualiti.
"Dengan sasaran di bawah inisiatif NKRA bagi tahun ini iaitu 90 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilahirkan iaitu 990,366 orang.
"Hal ini bermakna, KPM perlu memastikan sejumlah 891,329 kanak-kanak 4+ dan 5+ perlu mendapat pendidikan prasekolah sama ada di KPM, agensi kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan pada tahun ini," katanya.
Beliau menggesa sektor swasta supaya membantu dalam pencapaian sasaran enrolmen ini dengan 70 peratus daripada prasekolah baru dijangka akan dikendalikan oleh pihak swasta.
Katanya, menjelang 2020, 50 peratus pusat pendidikan prasekolah akan diusahakan sektor swasta dan bagi menyokong pertumbuhan prasekolah swasta, kementerian meningkatkan kadar bantuan yuran, geran pelancaran dan pinjaman keutamaan untuk penubuhan dan perluasan pusat prasekolah.
Muhyiddin berkata hasrat pendidikan prasekolah ini akan tercapai sepenuhnya melalui pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkesan, bermakna dan menggembirakan yang dilaksanakan berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
PdP yang dilaksanakan dengan menggunakan bahasa pengantar dwibahasa iaitu 50 peratus Bahasa Kebangsaan dan 50 peratus Bahasa Inggeris, diharapkan dapat memberi kemahiran asas berbahasa seperti bertutur, menulis dan mengira dalam kedua-dua bahasa sebagai persediaan ke Tahun Satu di sekolah rendah, katanya.