suria

Hindari Sertai Puak Militan Di Negara Bergolak - Jamil Khir

Jamil Khir Baharom.
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini patut mendengar nasihat mufti dan tokoh agama sebelum ini yang tidak membenarkan mereka terlibat dengan gerakan militan di luar negara kononnya atas dasar jihad.

Tiada fatwa baharu akan dikeluarkan berhubung perkara itu kerana rakyat sudah diberitahu bahawa sememangnya perkara ini tidak dibenarkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

"Mana-mana individu yang kurang pasti mengenai konsep sebenar jihad perlu membuat rujukan dengan pihak berkuasa agama negeri atau pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan agihan bantuan peralatan sekolah sumbangan Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini Selasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada Isnin menyarankan pihak berkuasa agama mengeluarkan fatwa rasmi seperti yang dibuat beberapa negara termasuk Arab Saudi mengharamkan rakyat mereka berjihad di negara bergolak khususnya Syria.

Menurut Ayob Khan, ini sebagai langkah membendung usaha merekrut militan ke negara terlibat, seperti yang cuba dilakukan dalam kalangan pelajar sekolah Malaysia melalui Facebook. 

"Justeru, saya menasihatkan rakyat negara ini supaya tidak melibatkan diri dengan mana-mana gerakan yang kononnya berlandaskan jihad kerana masih tidak pasti hujung pangkal perjuangan mereka," tegas Jamil Khir.

Beliau menjelaskan umat Islam sebaliknya digalakkan membantu saudara seagama seperti di Palestin yang menjadi mangsa serangan rejim zionis.

"Umum memahami jihad hanya dalam konteks berperang tetapi ia sebenarnya merangkumi aspek lain termasuk menyumbangkan ubat-ubatan, pakaian serta dana bagi membina semula petempatan yang musnah," katanya.

Agihan kelengkapan persekolahan bernilai RM4.59 juta yang dilancarkan pada Selasa akan memanfaatkan secara keseluruhan lebih 20,000 pelajar.


militan, Jamil Khir, Syria, jihad

Artikel Lain