suria

Pembangkang Dibidas Persoal Status Anak Permata

Permata Seni antara program yang mengasah bakat seni di kalangan kanak-kanak berbakat.
KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Dewan Rakyat pada Rabu menjadi kecoh apabila Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) mendakwa program Permata Negara (Permata) hanya khusus untuk anak golongan kaya.


Tidak berpuas hati dengan dakwaan tersebut, Datuk Seri Azalina Othman Said bingkas menempelak wakil rakyat pembangkang itu kerana disifatkan cuba mendiskriminasikan kanak-kanak.

"Mana boleh Ampang (Zuraida) diskriminasi kanak-kanak. Jangan buat diskriminasikan kanak-kanak berdasarkan latar belakang mereka sama ada kaya atau miskin.

"Kanak-kanak tetap kanak-kanak," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini.

Terdahulu ketika mencelah perbahasan oleh Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Zuraida mendakwa Permata merupakan program 'short cut' untuk anak golongan kaya.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR mendakwa hanya kanak-kanak golongan berada dipilih menyertai program Peramata.

"Bagaimana dengan nasib anak-anak yang miskin.

"Kalau betul Permata ini untuk pendidikan awal kanak-kanak, bantulah anak orang miskin di Sabah," katanya.

Program Permata yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah sebuah agensi yang terletak dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Permata menawarkan pendekatan alternatif dalam bidang asuhan dan didikan awal khusus untuk kanak-kanak di bawah umur empat tahun.

Menerusi Bajet 2015, kerajaan memperuntukan sebanyak RM711 juta bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak yang turut diagihkan untuk Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, Permata dan Tabika Perpaduan.

Artikel Lain