PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia menafikan sebarang khabar angin berkaitan amaran ribut kuat di seluruh negara yang disebarkan melalui aplikasi whatsapp dan media sosial sejak beberapa hari lalu. Jabatan itu dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, perkara tersebut adalah tidak benar. Ia berkata, maklumat sahih berkenaan amaran atau nasihat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia boleh diperolehi melalui laman web www.met.gov.my dan Facebook www.facebook.com/malaysiamet serta Twitter www.twitter.com/malaysianmet. "Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 yang beroperasi 24 jam sehari," kata jabatan itu dalam satu kenyataan. Menurut laman web Jabatan Meteorologi yang dikemasini setakat 12.14 tengah hari Rabu, tiada amaran angin kencang atau laut bergelora. Antara khabar angin yang tersebar meluas adalah mengenai pengumuman ribut kuat melanda Lembah Klang pada pukul 12 tengah malam Selasa, dengan menasihatkan penduduk berada di dalam rumah dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.