suria

Kematian Pelajar Malaysia Di England Akibat Meningitis

Rebecca Melissa Edward.

BUTTERWORTH: Berdasarkan hasil siasatan, punca kematian pelajar Malaysia, Rebecca Melissa Edward, 22, yang mengambil jurusan undang-undang di England, disebabkan oleh radang selaput otak (meningitis).

Bapa mendiang, Rev Edward M.John berkata, seorang pakar patologi bebas pada Isnin lalu memaklumkan kepada beliau bahawa anak perempuannya menghidap meningococcal meningitis (radang selaput otak), satu penyakit yang jarang berlaku tetapi merupakan jangkitan bakteria yang serius.

"Doktor-doktor berkata, meningitis ini memberi jangkitan kepada membran otak dan saraf tunjang.

"Ia biasanya tersebar melalui bersin atau batuk.

"Rebecca sihat ketika dia berlepas dari Malaysia ke Britain pada 11 September lalu," katanya dari Newcastle pada Selasa.

Pelajar undang-undang tahun akhir dari Brickfields Asia College di Kuala Lumpur tiba di England empat minggu lalu untuk menyambung pelajarannya dalam ijazah sarjana muda undang-undang di Universiti Northumbria, Newcastle.

Dia meninggal dunia pada 1 Oktober lalu, dua hari selepas demam dan muntah.

Rebecca memberitahu kedua ibu bapanya pada 29 September lalu bahawa dia mengalami muntah-muntah dan demam, dan dirawat di Hospital Royal Victoria tetapi dibenarkan keluar dengan hanya diberikan ubat demam.

Dia kemudiannya ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya pada hari berikutnya.

Rev Edward berkata, keluarganya bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan bagi membawa mayat mendiang yang diharapkan dapat dilakukan menjelang akhir minggu ini.

Beliau berkata, Rebecca akan diterbangkan pulang untuk upacara pengebumian di Gereja St James di Sentul, Kuala Lumpur, sebelum dikebumikan di Klang.

Rev Edward berkata, beliau sebak setiap kali membaca kenyataan di Facebook Rebecca pada 17 Jun lalu, yang menyatakan: “Hanya bapa saya yang akan makan kek saya yang kadang-kadang hangus dan kadang-kadang teruk dan bapa kata ia merupakan kek yang paling sedap. Kasih seorang bapa..."


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain