suria

Cuba Bunuh Diri Kerana Putus Cinta, Lelaki Dipenjara 6 Hari

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang cuba membunuh diri kerana tertekan akibat putus cinta, dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Loh Chin Long, 22, seorang tukang urut, mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh diri dengan baring atas landasan di Stesen LRT Cheras dan pertuduhan menceroboh kawasan LRT itu tanpa kebenaran pada 14 Okt lepas.

Bagi kesalahan menceroboh, dia dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM500 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Loh hanya perlu menjalani hukuman penjara enam hari selepas Majistret Saifulakmal Said memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap 14 Okt lepas.

Cuba membunuh diri merupakan kesalahan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Loh baring di atas landasan LRT itu namun diselamatkan oleh seorang pengawal di situ. Tertuduh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu, peguam mewakili Loh, Muhammad Syazwan Mohd Salleh berkata: "anak guam saya menceroboh masuk ke tempat itu (landasan LRT) bukan untuk melakukan jenayah tetapi bagi menyelesaikan masalah dengan membunuh diri di sana.

"Dia juga gagal mengawal perasaannya apabila pada masa yang sama, dia mengetahui datuknya jatuh sakit," katanya.


Mahkamah, Bunuh Diri

Artikel Sebelum

Artikel Lain