KEPALA BATAS: Seorang pemilik restoran dan isteri bukan sahaja kerugian lebih RM50,000 akibat disamun malah mereka juga berdepan detik cemas apabila diikat dan diacukan parang serta besi tajam di leher oleh tiga lelaki yang memecah masuk rumah pasangan itu di Permatang Tinggi B, di sini awal, Jumaat. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa berusia 52 tahun dan isterinya 50 tahun, sedang tidur di dalam bilik di tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu apabila dikejutkan dengan bunyi cermin pecah. "Pemilik restoran itu turun untuk memeriksa dan mendapati cermin tingkap bilik air tingkat bawah pecah menyebabkan dia memeriksa di dalam dan luar kawasan rumahnya. "Ketika pemilik restoran itu masuk semula ke dalam rumah, tiga lelaki mengepung mangsa dan isterinya yang juga turun ke tingkat bawah untuk melihat suaminya. Mereka diikat dan diacu parang serta besi tajam di leher dan diarah tidak melawan," katanya. Beliau berkata tiga lelaki terbabit menyelongkar bilik utama dan mengambil pelbagai barangan milik pasangan itu antaranya cincin, rantai leher, rantai tangan, telefon bimbit, dua utas jam tangan berjenama, beg tangan berjenama dan wang tunai RM1,700. Abdul Rahman berkata seorang daripada lelaki terbabit cuba membuka bilik anak perempuan pemilik restoran itu yang berkunci tetapi gagal. "Berikutan gagal membuka pintu bilik lain, mereka terus melarikan diri," katanya sambil memberitahu ketika kejadian tiga anak perempuan pemilik restoran itu berada di dalam bilik masing-masing. Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh rakyat asing berdasarkan percakapan mereka.