PUTRAJAYA: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi kata putus positif berhubung isu tambang bas ekspres yang berlarutan sejak 2008. Pembawa terpaksa meminta perdana menteri campur tangan selepas isu kenaikan 20 peratus tambang bas ekspres itu masih gagal dimuktamadkan. Yang Dipertua Pembawa, Tajuddin Mohd Yunus berkata, penyerahan memorandum itu diharap dapat menyelesaikan isu ini dan mewujudkan situasi menang menang kepada penumpang dan pengusaha bas ekspres. "Jangan biarkan syarikat pengusaha bas ekspres terus tertunggu-tunggu pengumuman mengenai isu yang tergantung sejak enam tahun lalu. Ini soal hidup dan mati kami," katanya. Tajuddin hadir di Jabatan Perdana Menteri kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat bagi menyerahkan memorandum yang ditandatangani 17 pemilik syarikat bas ekspres Melayu yang beroperasi di Semenanjung Malaysia. Antara syarikat yang terlibat adalah Cekap Ekspres Sdn Bhd, Cepat Ekspres Sdn Bhd, Comic Angle Travel Tours Sdn Bhd, Darul Naim Sdn Bhd, Edaran Ekspres Sdn Bhd, Eltabina Jaya Sdn Bhd, Hasry Ekspres Sdn Bhd, Konsortium E-Mutiara Bhd, Mahligai Ekspres Sdn Bhd. Syarikat lain adalah Nikaniaga (Kenyir) Sdn Bhd, Sani Ekspres Sdn Bhd, Sri Indah Jaya Sdn Bhd, Sri Jengka Sdn Bhd, Syarikat Mohd Tap Sdn Bhd, Utama Ekspres Sdn Bhd, Perdana Ekspres Sdn Bhd dan Pancaran Matahari Sdn Bhd. Tajuddin bagaimanapun berkata, beliau berpuas hati dengan layanan yang diberikan dalam pertemuan dengan tiga pegawai khas Setiausaha Sulit Kanan kepada perdana menteri. "Saya gembira mereka dengar masalah yang sedang dihadapi syarikat pengusaha bas ekspres. Mereka akan beri maklum balas mengenai perkara ini dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi," katanya. Memorandum tiga muka surat itu menyatakan beberapa faktor yang dihadapi syarikat pengusaha bas seperti peningkatan kos operasi, alat ganti bas, insurans dan pengurangan subsidi diesel yang menyebabkan kadar tambang bas ekspres yang baharu wajar dipertimbangkan. "Kita bukannya mahukan kenaikan setiap tahun, cukuplah kenaikan sebanyak 20 peratus setiap lima tahun. Ia perlu selepas mengambil kira peningkatan kos operasi yang ditanggung syarikat pengusaha bas sepanjang tempoh ini," katanya. Jelas beliau, kerajaan perlu menangani kemelut ini dengan segera agar industri perkhidmatan bas ekspres di negara ini terus beroperasi dengan sistematik dan bas dalam keadaan selamat. "Perniagaan ini melibatkan nyawa penumpang, oleh itu kerajaan perlu mempertimbangkan permohonan ini supaya syarikat pengusaha bas dapat memberi perkhidmatan terbaik. "Jika tambang bas naik seperti yang diminta, sekurang-kurangnya ada sedikit keuntungan yang boleh digunakan untuk membeli bas baharu bagi menggantikan yang lama," katanya.