Beliau menegaskan bahawa aturan dan amalan tadbir urus yang berkesan adalah penting bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang mantap, lestari dan bertanggungjawab.
Kata beliau, ia juga akan membolehkan agensi perkhidmatan awam mencapai hasil terbaik bagi kerajaan, sejajar dengan keperluan perundangan dan dasar masing-masing.
"Di samping itu, mereka juga perlu memberi fokus terhadap prestasi yang meliputi kecekapan, keberkesanan dan penyampaian secara berterusan," kata beliau dalam ucaptama ketika merasmikan persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Ahad.
Persidangan dwitahunan ini diadakan bersempena ulang tahun ke-20 Capam.
Muhyiddin berkata, untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam menyampaikan program serta perkhidmatan kepada rakyat, perkhidmatan awam perlu melakukan inovasi dan mengurus risiko dengan berkesan dalam menghadapi kekangan kewangan.