SHAH ALAM: Empat penolong penguasa kastam dari Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 tuduhan rasuah melibatkan wang suapan RM129,400. Ia berhubung penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai antara April dan Julai lepas. Empat pegawai terbabit adalah Nor Shafik Shamsinor, 29; Mohd Izwan Ramli, 31; Che Zulkifli Che Ismail, 29; dan Azahar Zainuddin, 32. Nor Shafik didakwa tiga tuduhan menerima suapan RM6,600 sebagai dorongan untuk tidak melakukan pemeriksaan terhadap barangan yang tidak dibayar cukai iaitu arak yang dibawa keluar oleh kenderaan kepunyaan seorang warganegara Malaysia dari PKFZ. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama PKFZ, Pelabuhan Barat, Klang antara April dan Julai lepas. Mohd Izwan menghadapi satu pertuduhan menerima suapan RM2,000 bagi kesalahan sama yang dilakukan di pintu utama PKFZ, Pelabuhan Barat, Klang antara 26 dan 30 Mei lepas. Che Zulkifli didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000 dan melakukan kesalahan itu di pintu utama PKFZ, Pelabuhan Barat, Klang dan tepi jalan simpang empat Kampung Pulau, Jalan Uda Habib, Pulau Indah, Klang antara Mei dan Julai lepas. Azahar pula didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan bernilai RM110,800 dan melakukan kesalahan itu di Restoran Berkat Restu, Persiaran Masjid Sultan, Pulau Indah, Klang dan pintu utama PKFZ, Klang antara April dan Julai lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi. Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan Nor Shafik diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin; Mohd Izwan RM5,000 dengan seorang penjamin dan Che Zulkifli dan Azahar masing-masing dikenakan RM10,000 dengan seorang penjamin. Kesemua tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula 30 Okt depan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin manakala Azahar diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan tiga tertuduh lain tidak diwakili peguam.