suria

Mantan Ketua Satu Gapena Tan Sri Ismail Hussein Meninggal Dunia

Tan Sri Ismail Hussein.

KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Ismail Hussein meninggal dunia kira-kira jam 9.36 malam Isnin di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dipercayai akibat sakit tua. 

Ismail berusia 82 tahun, meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid dan empat anak - dua lelaki dan dua perempuan.  

Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar berkata, Ismail merupakan seorang tokoh di bidang kesusasteraan Melayu di negara ini.  

"Sepanjang mengenali Allahyarham, beliau merupakan seorang yang lemah lembut dan selalu menghulurkan pertolongan kepada orang lain. 

"Manakala dari sudut kepimpinan, beliau adalah seorang pemimpin yang berjaya membawa Gapena sehingga terkenal dalam memperjuangkan bidang kesusasteraan dan budaya Melayu di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Allahyarham yang juga mantan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dilahirkan pada 30 Jan 1932 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah dan menerajui Gapena bermula 1971 hingga 2013.  

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Seksyen 16, Petaling Jaya, 10 pagi Selasa dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira 11 pagi.

Gapena, Tan Sri Ismail Hussein

Artikel Lain