SHAH ALAM: Apabila pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilihat lebih kerap berada di kuil atau gereja, perkara pertama yang terlintas di fikiran orang ramai adalah mengenai operasi serbuan. Persepsi ini timbul mungkin disebabkan serbuan yang dilakukan oleh Jais dalam rampasan bible dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada tahun lalu. Bagaimanapun, pada bulan lalu, kehadiran pengawai penguatkuasa di beberapa tempat ibadah golongan bukan Islam disambut dengan tangan terbuka. Kunjungan ke kuil Sri Maha Maryaman dan kuih Samadhi Vihara Buddha di Shah Alam serta Gereja Orthodox Syria di Klang adalah sebahagian daripada program Jais untuk mendedahkan para peserta mengikut kursus perbandingan agama. "Ini adalah kali pertama kami menganjurkan kursus seperti ini. Kami mahu peserta sendiri mengetahui bagaimana kaum lain menjalani ibadah mereka. "Kami mahu membina persefahaman supaya pada masa hadapan, isu-isu agama tidak dijadikan polemik," kata Penolong Pengarah Jabatan Dakwah Jais, Mohd Basori Omar kepada The Star Online dalam satu wawancara. Program itu dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada pegawai dakwah, pensyarah kolej, guru, kakitangan kerajaan dan ahli jawatankuasa masjid. Basori berkata, Jais telah menjalankan lima siri kursus perbandingan agama sepanjang tahun ini tetapi pertama kalinya memasukkan program lawatan ke kuil dan gereja. Katanya, bagi beberapa peserta, lawatan ke tempat ibadah bukan Islam adalah yang pertama kali dilakukan sepanjang hidup mereka. Beliau berkata, orang Islam dibenarkan untuk memasuki gereja atau kuil selagi tidak melanggar batas-batas agama.