PETALING JAYA: Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan cadangan penggunaan tanda harga khas ke atas barangan yang tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, persetujuan dibuat menerusi perbincangan terhadap cadangan itu di peringkat kementerian pada minggu lalu. "Kita telah adakan perbincangan diadakan di peringkat kementerian. Belum lagi buat pertemuan dengan wakil industri. Pada dasarnya kita bersetuju untuk melaksanakannya,” katanya menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online pada Selasa. Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek pada Khamis baru-baru ini berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melabelkan barangan yang dikecualikan GST dengan pelekat warna berbeza bagi mengelakkan kekeliruan pengguna. Alias pada Jumaat lalu pula berkata, kerajaan akan mengkaji dan menyemak aspek perundangan berhubung cadangan penggunaan tanda harga khas bagi barangan berkenaan. Dalam mengenai perkembangan berhubung perkara itu, Alias berkata, belum ada semakan yang dibuat berkaitan perundangan setakat ini. “Belum semak lagi berkaitan perundangan. Ia akan dibincangkan kemudian. Kita masih ada masa. Tidak perlu tergesa-gesa,” katanya. Bagaimanapun katanya, semakan dari segi perundangan adalah penting kerana mahu meneliti peraturan-peraturan berkaitan dengan pelaksanaan tanda harga khas itu. “Peraturan ini penting kerana jika ada peniaga yang gagal patuhinya, kita mesti fikir apakah penalti yang boleh dikenakan kelak,” kata Alias. Selain semakan dari segi perundangan, kerajaan turut akan membincangkan mengenai senarai lengkap barangan termasuk perkhidmatan yang dikecualikan GST termasuk dikenakan cukai kadar sifar, mekanisme pelaksanaan, penetapan warna atau jenis tanda harga khas dan tempoh ia dilaksanakan. Pelaksanaan GST yang akan berkuat kuasa pada 1 April tahun depan bakal menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Terdahulu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman mencadangkan penggunaan tanda harga khas bagi barangan yang tidak dikenakan GST supaya pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan bijak dan memahami hak kepenggunaan.