IPOH: Ketua Kampung Kuala Sepetang membuat laporan polis berkaitan dengan artikel sebuah akhbar berbahasa Melayu yang mendakwa kampung itu dikuasai 'kumpulan mafia'. Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata, pihaknya ada menerima laporan tersebut awal minggu ini. Ketua kampung tersebut merasakan artikel itu adalah khabar angin dan telah memberi kesan negatif. "Ketua kampung tidak gembira dengan artikel yang dikeluarkan itu. "Tidak ada apa-apa kesalahan yang dinilai, namun kami tetap menerima laporan itu," katanya ketika sidang media pada Selasa. Dalam akhbar tersebut yang diterbitkan pada Ahad lalu, mendakwa kampung itu menjalani aktiviti mafia yang melibatkan pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchordan dan Pulau Kuala Sangga. Turut dilaporkan mengenai aktiviti jenayah termasuk penyeludupan dan pengedaran dadah, judi serta pencerobohan ke atas tanah kerajaan. Paramasiva juga tidak bersutuju dengan laporan artikel itu, dan berkata Kuala Sepetang merupakan sebuah bandar yang aman dan penggunaan 'mafia' adalah agak kasar. "Pelancong tidak akan datang melawat Kuala Sepetang jika ada kumpulan mafia berkuasa di sana," katanya sambil menambah Kuala Sepetang merupakan sebuah tempat pelancongan untuk melihat dolfin dan burung helang. "Sehingga hari ini, pihak polis belum menerima sebarang laporan daripada pelancong diugut atau dirompak," tambah beliau.