CHERAS: Polis tidak takut dan gentar untuk melakukan serbuan atau mengambil sebarang tindakan di kawasan Kuala Sepetang, Perak yang didakwa menjadi lokasi jenayah dan aktiviti mafia. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak polis akan sentiasa memantau dan menyerbu mana-mana sahaja kawasan yang disyaki menjalankan aktiviti jenayah. "Saya rasa polis belum sampai ke tahap itu (takut). "Belum ada tempat di mana-mana juga di negara kita yang polis takut untuk berhadapan dengan keadaan yang mengancam ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 30 ekor kuda yang baharu dibeli oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di sini, Khamis. Menurut Khalid, kegiatan jenayah di Kuala Sepetang memang wujud tetapi tidak sampai ke tahap dikuasai oleh kumpulan mafia. "Kita tak nafikan berlaku jenayah di Kuala Sepetang tapi bukan sampai wujud mafia dan sebagainya" katanya. Beliau menambah, walaupun Kuala Sepetang pernah menjadi sebuah pusat penyeludupan pada masa dahulu tetapi sekarang kawasan tersebut lebih dikenali dan berpotensi sebagai pusat pelancongan. "Saya percaya masih berlaku penyeludupan ini tapi tak seperti apa yang digambarkan...begitu teruk keadaannya. "Kuala Sepetang sekarang adalah pusat pelancongan saya rasa eloklah kita majukan kawasan itu sebagai kawasan peranginan untuk tarik pelancong," katanya. Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini menerbitkan artikel mengenai kegiatan mafia yang dikatakan berleluasa di kawasan itu melibatkan pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga. Laporan tersebut mendakwa pelbagai aktiviti jenayah berlaku di sana, termasuk penyeludupan, pengedaran dadah, perjudian, pencerobohan tanah kerajaan dan pencerobohan pendatang tanpa izin yang dikendalikan oleh sindiket berpengaruh. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan tersebut. Katanya, meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut.