suria

Label Khas GST: Fomca Dapatkan Pandangan Umum

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan mendapatkan pandangan masyarakat berhubung cadangan penggunaan label khas ke atas barangan yang tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, perkara itu akan dilakukan menerusi program jelajah yang merangkumi seminar kesedaran mengenai GST anjuran Fomca dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam.

“Kita akan mendapatkan pandangan dan cadangan masyarakat, serta mengumpulkan maklumat untuk dibawa dalam perjumpaan yang bakal diadakan oleh KPDNKK bersama wakil-wakil industri.

“Pandangan ini diharapkan diambil kira oleh kerajaan untuk membantu pengguna lebih mudah memahami langkah pelaksanaan GST,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Pada Selasa lalu, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan label khas bagi barangan yang tidak dikenakan GST, menerusi perbincangan dibuat di peringkat kementerian.

Mohd Yusof berkata, persetujuan secara dasar itu perkembangan positif bahawa cadangan yang dibuat oleh Fomca diterima baik oleh kerajaan.

“Mungkin perbincangan seterusnya ialah melibatkan peniaga-peniaga mengenai bagaimana untuk melaksanakan tanda harga tersebut termasuk peraturannya dari segi undang-undang,” katanya.

Mengenai program jelajah, beliau berkata, ia sudah bermula sejak awal tahun membabitkan komuniti setempat di 20 lokasi di seluruh negara.

“Program ini mendapat sambutan baik dan kebanyakan mereka mahu mendapatkan penjelasan tentang kesan pelaksanaan GST kepada mereka sebagai pengguna dan kekeliruan serta persoalan yang timbul berkaitan cukai itu.

“Ia dijangka diteruskan sehingga akhir tahun dalam usaha kita memberi kefahaman mengenai GST di samping mendapatkan pandangan serta cadangan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof sekali lagi menegaskan bahawa label khas itu dicadangkan untuk dilaksanakan sementara dalam tempoh tertentu sehingga rakyat dapat memahami tentang perbezaan barangan yang tidak dikenakan atau dikenakan GST.

Beliau menambah, mekanisme kefahaman itu turut meliputi barangan yang dikecualikan GST dan dikenakan kadar cukai sifar.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu menitikberatkan soal pendidikan dan pemahaman masyarakat terhadap barangan yang tidak dikenakan cukai itu menerusi penyampaian lebih mudah,” katanya.

Pelaksanaan GST yang akan berkuat kuasa pada 1 April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Mohd Yusof dalam reaksinya mengenai pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober lalu mencadangkan penggunaan label khas bagi barangan yang tidak dikenakan GST supaya pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan bijak dan memahami hak kepenggunaan.

 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Tak Takut - KPN

Artikel Lain