KUALA LUMPUR: Sepuluh individu ditahan, termasuk seorang pegawai kanan polis yang dipercayai melindungi aktiviti pembalakan haram di Sarawak melibatkan nilai suapan yang keseluruhannya mencecah RM50,000. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, sembilan lagi individu yang ditahan adalah pemilik syarikat, pengarah urusan dan pengurus kem yang berusia antara 28 hingga 70 tahun. "SPRM juga menyita kira-kira 30 akaun pemilik syarikat balak yang terlibat dengan nilai keseluruhannya mencecah RM18 juta menerusi Ops Tukul yang dilancarkan sejak Isnin lalu," katanya di sini pada Khamis. Beliau berkata, daripada 10 yang ditahan itu, empat akan dituduh di Limbang pada Khamis, manakala seorang lagi sudah didakwa semalam (Rabu) di Kuching, Sarawak," katanya. Tiga daripada 10 suspek kes rasuah pembalakan haram di Sarawak yang dihadapkan ke mahkamah pada Khamis. Beliau berkata, empat lagi individu, termasuk seorang pegawai polis berusia 35 tahun yang ditahan masih lagi disiasat dan dalam tahanan reman sehingga Ahad ini. "Pegawai kanan polis yang ditahan itu mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis sebuah daerah di Sarawak dan dipercayai menerima wang suapan berjumlah RM16,000 menerusi tiga transaksi. "Transaksi pertama bernilai RM3,000 pada 24 Ogos lalu, seterusnya RM5,000 pada 11 September dan RM8,000 pada Isnin lalu," katanya. Tertuduh berusia 28 tahun ditahan kerana kegiatan pembalakan haram. Katanya, jika bersabit kesalahan, individu terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan 17(a), Akta SPRM 2009 yang mengenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan. Mengenai nilai suapan yang dianggap kecil, Mohd Shukri berkata, ia tetap memberi impak kepada kegiatan itu kerana menyebabkan kemusnahan alam sekitar, merosakkan kawasan tadahan, mencemarkan air sungai dan mengancam hidupan liar. "Kita dapati pembalak haram ini menebang pokok bernilai tinggi seperti pokok belian dan tapang yang penebangannya dilarang," katanya. Beliau berkata, menerusi pemerhatian SPRM sejak sembilan bulan lalu di 12 lokasi iaitu Kuching, Limbang, Sibu, Ulu Baram, Lundu, Kapit dan Miri, kerajaan Sarawak mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM43 juta dengan anggaran kerugian sebanyak RM100 juta setahun. Katanya, operasi bersepadu itu membabitkan kerjasama agensi seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Lembaga Hutan Malaysia.