PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melantik seorang ketua saintis data berikutan perkembangan pesat MSC Malaysia dan sektor digital di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet untuk tujuan pelantikan tidak lama lagi, katanya. "Memajukan ekonomi digital Malaysia adalah satu jalan yang perlu kita ambil dan cabaran itu perlu dihadapi dengan penuh bersemangat bagi menggerakkan negara ke arah mencapai Wawasan 2020," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup pada mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC ke-26 di sini, Khamis. MSC Malaysia merupakan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi nasional yang diwujudkan bagi menarik syarikat-syarikat teknologi bertaraf dunia dan dalam masa yang mempersiapkan industri ICT tempatan. Dalam usaha menangani jurang kemahiran dari segi saintis data yang ada di negara ini, Najib berkata kerajaan memutuskan untuk mengarahkan agensi pemberi biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyediakan biasiswa. "Dengan ini, ia membolehkan rakyat Malaysia dilatih sebagai saintis data bagi ijazah pertama, ijazah sarjana dan PhD dan ini boleh dilakukan dengan segera kerana kita mahu ia ditambah bagi mengatasi jurang kemahiran," katanya. Najib juga mengumumkan Malaysia akan menjadi hos Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) pada 2020, yang akan dianjurkan bersama oleh MDeC dan PIKOM. Pemilihan penganjur itu diumumkan pada WCIT 2014 di Guadalajara, Mexico, baru-baru ini. Ini merupakan kali kedua Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi penganjur WCIT, selepas kejayaannya menjadi penganjur siri ke-16 pada tahun 2008 di Kuala Lumpur.