KUANTAN: Polis menahan tiga lelaki kerana dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kedai runcit yang melibatkan kerugian wang tunai RM2,500 di Taman Datuk Rashid di Jalan Bypass pada Rabu. Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang apabila pemilik kedai itu yang berusia 50 tahun secara tiba-tiba didatangi empat suspek bersenjatakan pisau. Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, suspek bertindak mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum menyelongkar laci kaunter bayaran dan mengambil wang tunai di dalamnya. "Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal, namun mangsa sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan suspek sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Khamis. Susulan laporan itu, katanya polis telah memberkas pemilik salah sebuah motosikal itu berusia 19 tahun di rumahnya di Beserah dekat sini pada pukul 10.30 Rabu malam dan dua lagi rakannya yang disyaki terlibat dalam kejadian samun itu, berusia 18 dan 32 tahun di kawasan sama. Katanya polis kini masih mengesan dua lagi suspek termasuk seorang yang menjadi dalang dalam kegiatan ini yang masih bebas dan tinggal di kawasan Batu Hitam, Beserah. "Kesemua suspek yang ditahan itu juga didapati positif dadah dan mereka kini ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen395/397 Kanun Keseksaan," katanya. Dalam kes berasingan katanya, polis menahan seorang bekas banduan yang dipercayai pengedar dadah berusia 27 tahun dalam serbuan di rumah sewanya di di Sungai Karang dekat Beserah pada pukul 2 petang semalam. Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas 75 gram heroin dianggarkan bernilai RM3,000 dan pil kuda sebanyak 1,000 biji dianggarkan bernilai RM11,000 yang disembunyikan di dalam sebuah beg silang di dalam sebuah bilik di rumah itu. "Dia kini ditahan di lokap IPD (Ibu pejabat Polis Daerah) Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung (sampai mati) jika disabitkan kesalahan," katanya.