PUTRAJAYA: Tiada pengesahan diterima daripada Indonesia tentang kemungkinan serpihan pesawat MH370 ditemui di perairan negara itu, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Ruhaizah Mohamed Rashid. Beliau berkata sekiranya benar serpihan pesawat itu ditemui, sudah tentu pihak Indonesia akan menghubungi pihak Malaysia. "Hubungan rapat antara kedua-dua negara dapat memberi jaminan jika ada sebarang maklumat berkaitan pesawat itu pastinya akan terus dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia", katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat kepada media tentang status terkini pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac, di sini pada Jumaat. Taklimat disampaikan Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Judith Zielke dan jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Peter Forley. Judith Zielke (tengah) bersama Peter Foley (kiri) dan Ruhaizah ketika taklimat media mengenai operasi pencarian pesawat MH370 di Putrajaya pada Jumaat. -fotoBERNAMA Ruhaizah berkata untuk proses pengecaman sebarang serpihan dipercayai daripada pesawat itu yang ditemui di mana-mana, ia akan dibawa ke Australia untuk diambil gambar dan dihantar kepada pihak syarikat Boeing untuk tujuan pengesahan. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac setelah berlepas kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Misi mencari pesawat itu sedang giat dijalankan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai 'berakhir'. Mengenai operasi pencarian pesawat itu, Ruhaizah berkata semua pihak mengharapkan pencarian MH370 akan berhasil sebagaimana pencarian Air France, dalam masa terdekat. "Sistem pencarian iaitu 'bathymetric survey' yang digunakan pada masa sekarang adalah lebih kurang sama dengan sistem pencarian Air France, pengenalpastian akan bergantung kepada serpihan yang dijumpai sebab sekarang ini kita masih tidak ada sebarang petunjuk. "Jadi kita ada maklumat dan data maka berdasarkan itu kita analisis dan jika kita dapat serpihan, itu akan lebih jelas (pencarian). Jadi kita mengharapkan ada serpihan yang akan ditemui," katanya. Ruhaizah berkata faktor kawasan pencarian yang sangat luas juga menyukarkan misi pencarian dapat diselesaikan dalam masa terdekat. 'Tapi Alhamdulillah, sekarang cuaca semakin baik di selatan Lautan Hindi, jadi kita berharap dengan peralatan dan kapal yang ada, kita akan dapat mencari sekurang-kurangnya serpihan pesawat bagi menunjukkan di mana lokasi kapal terbang itu," katanya.