suria

Tetapkan Had Umur Minimum Untuk Berkahwin

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen mencadangkan agar kerajaan menetapkan had umur minimum bagi pasangan muda yang ingin berkahwin dalam usaha mengekang perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak.

Teo Nie Ching (DAP-Kulai) mendakwa selain tidak lagi bersekolah, terdapat banyak kes perceraian dan kematian pasangan di peringkat awal perkahwinan yang memberi kesan negatif kepada kanak-kanak terlibat.

Tegasnya meskipun peruntukan undang-undang sedia ada membenarkan remaja berkahwin seawal usia 16 hingga 18 tahun, namun terdapat situasi yang membolehkan mereka mendirikan rumah tangga pada usia lebih muda.

"Kita tak boleh lagi lihat anak-anak kita berkahwin pada umur 11 atau 12 tahun. Ini satu isu yang perlu diberi perhatian segera," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Teo berkata kerajaan telah menerima resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak pada Oktober tahun lepas, namun masih belum ada langkah jelas pelaksanaannya di negara ini.

"Sudah tiba masanya tunaikan janji untuk pastikan kanak-kanak di negara ini tidak kira agama tidak boleh berkahwin selagi belum mencapai umur dewasa," katanya. 

Beliau turut mempersoalkan kewajaran anak-anak diberi kebebasan memilih pasangan hidup pada usia muda apabila mereka tidak pula dibenarkan memiliki lesen memandu atau mengundi selagi tidak mencapai had umur yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Teo juga memohon agar peruntukan yang diberi kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditambah kerana ia banyak dibelanjakan untuk kebajikan sosial dan bukannya untuk wanita semata-mata. 

Persidangan bersambung pada Khamis.
Teo Nie Ching, DAP, umur minimum, kahwin

Artikel Lain