suria

Kanak-Kanak Berusia Setahun Meninggal Dunia, Dipercayai Didera

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Pasukan forensik telah membuat lawatan ke sebuah rumah pasangan suami isteri bagi mencari sebarang bukti berkaitan dengan kematian mengejut salah seorang anak mereka pada Isnin lalu.

Polis memberitahu, doktor di Hospital Sungai Buloh membuat laporan selepas pasangan tersebut menghantar anak perempuan mereka berusia setahun dalam keadaan tidak sedarkan diri ke wad kecemasan pada Jumaat lalu.

Menurut doktor, pihaknya telah menemui beberapa kesan lebam di kepala, tangan kanan dan bahagian belakang. 

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia beberapa minut tiba di hospital.

"Punca kematian disebabkan kecederaan teruk di kepala. Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu pernah dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Universiti Malaya selama tiga bulan kerana patah tangan kanan," jelas Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus.

"Apabila kami menyoal siasat ibu bapa mangsa, mereka mendakwa anaknya itu mendapat kesan lebam kerana terjatuh dari tangga dua hari sebelum kematian. 

"Mereka turut memberitahu kanak-kanak itu turut patah tangan ketika jatuh ketika itu."

Pihak polis pergi ke rumah mangsa di SS2 dan turut berjumpa dengan tiga lagi anak pasangan tersebut yang berumur lapan tahun, dua tahun dan empat bulan.

Hasil siasatan mendapati tiada apa-apa kesan lebam terhadap tiga kanak-kanak itu

."Kami masih mencari sebarang kemungkinan dalam kes ini. Kami memohon kepada jiran-jiran agar tampil memberi sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan," jelas Supt Fadil.

Lawatan itu bukanlah kali pertama dilakukan oleh polis ke atas rumah pasangan suami isteri yang telah berkahwin selama 10 tahun ini.

Menurut jiran, pada tahun lalu mereka ada menelefon polis selepas mendengar jeritan dan bunyi seperti dipukul.

Jelas salah seorang jiran kepada The Star, suara menjerit, bergaduh dan bunyi barang-barang dibaling sudah menjadi perkara biasa kepada mereka sejak empat tahun lalu.

"Sudah penat mendengar suara mereka. Setiap hari saya dengar mereka bergaduh, si isteri menjerit, membaling perabot dan anak-anak menangis.

"Ada satu ketika dulu, salah seorang jiran ada membuat laporan polis, namun selepas itu mereka ditegur oleh ibu mangsa agar jangan masuk campur," jelas jiran mangsa.

Dia menggambarkan bapa kanak-kanak itu sebagai 'psycho'  kerana pernah mencalarkan kereta dan membuang sampah di tempat letak kereta di depan rumahnya.

Artikel Lain