suria

Giatkan Taklimat, Penerangan Mengenai Skim Subsidi Bahan Api

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempergiatkan penganjuran taklimat dan sesi penerangan mengenai skim rasionalisasi subsidi bahan api bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat sebelum pelaksanaannya pada tahun hadapan. 

Naib Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Abu Samah Bachick berkata dalam hal ini masih ramai lagi rakyat yang keliru terutamanya dalam kalangan pengusaha stesen minyak mengenai pelaksanaan skim ini nanti. 

"Contohnya ada yang kata pendapatan RM10,000 ke atas tergolong dalam kategori berpendapatan tinggi, namun ada pula pihak yang menyatakan pendapatan RM5,000 sudah boleh dikategorikan sebagai pendapatan tinggi. 

Jika sistem ini dilaksanakan dengan menggunakan MyKad, para pengusahastesen minyak terpaksa menghadapi sebarang kemungkinan wujudnya masalah teknikal pada mesin pengimbas kad, oleh itu mereka masih keliru lagi dengan perkara ini," katanya.

Abu Samah berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi panel kepada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk 'Skim Rasionalisasi Subsidi Bahan Api' pada Selasa malam. T

Turut hadir Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman. 

Abu Samah mencadangkan sebelum pelaksanaan sistem rasionalisasi subsidi petrol pada bulan Julai tahun depan, kerajaan patut membenarkan stesen-stesen minyak melaksanakan percubaan untuk menguji kelancaran pembelian petrol dengan menggunakan MyKad.

"Kalau boleh pada awal tahun, sebab jika berlakunya masalah,pengusaha-pengusaha stesen minyak boleh membangkitkan masalah yang timbul ketika 'percubaan' dilaksanakan. 

Jika tidak, apabila berlakunya gangguan pada sistem pengkomputeran,dikhuatiri akan berlakunya kesesakan pada stesen minyak menyebabkan pengguna terpaksa menunggu lama untuk mengisi minyak," katanya. 

Sementara itu, Mohd Yusof berpendapat skim ini perlu dinilai dari segi saizenjin sesebuah kenderaan itu dan bukannya pendapatan rakyat.   -

"Ini sangat sukar bagi golongan yang tiada pendapatan tetap. Contohnya,jika seseorang itu yang sebelum ini berpendapatan tinggi melebihi RM10,000, apabila beliau telah berhenti kerja dan tiada pendapatan, skim ini dilihat tidak adil kepadanya," katanya. 

Katanya dana daripada lebihan subsidi petrol menerusi skim itu juga perlu dimanfaatkan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di negara ini.

"Kita sedia maklum apabila sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dilaksanakan pada Mei 2015 dan pengurangan subsidi minyak baru-baru ini, rakyat akan lebih kerap menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana.

Namun, sistem pengangkutan awam perlu dinaiktarafkan seperti menambah kekerapan bas dan LRT (aliran transit ringan) untuk tiba ke satu destinasi bagi mengambil penumpang, pastikan tiba di lokasi tepat pada masanya dan mengenakan tambang yang lebih murah dan berpatutan," katanya. 

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam berkata mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan akan terus menikmati subsidi bahan api manakala yang berpendapatan melepasi RM10,000, tidak layak.

subsidi bahan api

Artikel Lain