suria

Penyokong Anwar Cuba Rempuh Besi Penghadang, Kawalan Keselamatan Dipertingkat

PUTRAJAYA: Prosiding kes liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari kedua, Rabu, dengan lebih banyak hujah akan dikemukakan oleh barisan peguam kedua-dua belah pihak.

Hari kedua pendengaran rayuan menyaksikan lebih ramai penyokong Anwar memenuhi perkarangan Mahkamah Persekutuan.

Penyokong beliau berarak beramai-ramai dari Masjid Tuanku Mizan Putrajaya ke Istana Kehakiman di sini diketuai oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua sambil melaungkan slogan 'Reformasi' dan 'Bebas Anwar'.

Mereka tiba di Mahkamah Persekutuan pada pukul 8.30 pagi.

Berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan penyokong ini tiba apabila mereka cuba merempuh penghadang besi yang dipasang dan dikawal polis.

Namun situasi itu dapat dikawal oleh pihak polis yang mana keanggotaannya ditambah pada hari kedua ini dan penghadang besi juga dipasang dengan lebih banyak sekali gus lebih jauh dari bangunan mahkamah.

Tian Chua yang sempat memberikan ucapan berkata kehadiran penyokong pada Rabu adalah untuk menyatakan sokongan kepada Anwar dan menuntut keadilan.

"Hak untuk berhimpun adalah hak rakyat dan saya telah minta dengan polis untuk berada lebih dekat dengan mahkamah iaitu di hadapan mahkamah tapi hari ini nampaknya kita berada lebih jauh dari semalam.

"Tetapi polis tak benarkan," katanya.Bagaimanapun katanya program melibatkan penyokong akan diteruskan.

Turut kelihatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kayat.

Artikel Lain