KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya pembalak haram dikenakan hukuman lebih berat termasuk dihukum sebat bagi membolehkan isu ini ditangani habis-habisan dan efektif. "Setakat denda sahaja tidak mencukupi. Kalau hukuman penjara tidak mencukupi juga, mungkin kita boleh mengkaji hukuman sebat... bergantung kepada kesesuaian dengan kesalahan yang dilakukan," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Mohd Shukri Abdull. Mohd Shukri menambah: "Paling penting, hukuman mesti ada elemen 'deterent'." Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti dan Pelancaran Kempen Tanpa Hadiah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di sini, Khamis. Baru-baru ini, SPRM melancarkan Ops Tukul yang membawa kepada penahanan pembalak haram di mana sembilan pembalak haram telah dituduh sejak minggu lalu. Ops Tukul dilancarkan SPRM bermula 20 Oktober lalu bagi membanteras aktiviti rasuah yang mengakibatkan berleluasanya pembalakan haram. Beliau berkata, Jabatan Perhutanan perlu menilai semula sistem dan prosedur yang sedia ada serta memperketatkan undang-undang. "Kalau ada masalah kelemahan undang-undang atau kekangan prosedur, mohon atasi perkara tersebut secepat mungkin. Kalau pegawai tidak mencukupi, kita kena selesaikan isu tersebut. "Hal ini sebab saya banyak menerima maklum balas berkenaan pelaksanaan penguatkuasaan di mana kawasan adalah luas dan pegawai tidak mencukupi. Pihak berkenaan haruslah memperluas kuasa mereka kerana ini adalah pelaburan untuk menyelamatkan harta sendiri," katanya. Mengulas mengenai Ops Tukul, beliau berkata, inisiatif penguatkuasaan yang dijalankan SPRM telah menyelamatkan hasil khazanah kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM100 juta akibat aktiviti pembalakan haram. "SPRM telah mengambil tempoh sembilan bulan untuk mengumpul maklumat di Sarawak. Kalau Jabatan Perhutanan berdepan dengan halangan dan kekangan untuk mendapatkan bukti yang mencukupi, SPRM sedia membantu. "Biasanya, apabila balak dibawa ke pusat pengumpulan balak atau 'log pond', memang sukar untuk mengenal pasti dari kawasan mana balak itu berasal. Untuk itu, kita boleh gunakan 'remote sensing', kepakaran forensik dan DNA unuk mengatasi kekangan itu," jelas Mohd Shukri. Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof menyambut baik kerjasama strategik bersama SPRM dalam menangani pembalakan haram dan pencurian pasir. "Pematuhan kepada Ikrar Integriti serta kempen tanpa hadiah merupakan antara tindakan seterusnya bagi kita. Kita tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah dalam apa-apa aspek perhutanan dan alam sekitar," tegasnya