KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok dapat melakukan yang terbaik dan mendoakan agar mereka mencapai kejayaan cemerlang. Dalam satu kenyataannya di sini, Ahad, beliau berkata Kementerian Pendidikan telah membuat persiapan rapi agar peperiksaan yang bermula esok berjalan lancar. "Kepada para pelajar, lakukanlah yang terbaik. Buat persediaan yang mencukupi dan hadapi peperiksaan dengan tenang. Insya-Allah, anda semua bakal beroleh kejayaan. "Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas segala pengorbanan dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh guru-guru. "Terima kasih juga kepada ibu bapa yang tanpa jemu memberikan dorongan serta sokongan kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan esok," katanya. Sebanyak 455,839 pelajar di seluruh negara akan menduduki peperiksaan itu.