suria

Malaysia, Brunei Puas Hati Kemajuan Perkongsian Strategik Dua Hala

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-18 di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, Isnin. Turut sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (dua, kanan). -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei Darussalam berpuas hati dengan kemajuan dalam pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani pada 2009 bagi merintis jalan kepada pembentukan perkongsian strategik dua hala.

Ketika menegaskan tentang kepentingan Pertukaran Surat berkenaan, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pegawai negara masing-masing menggiatkan usaha untuk mencapai keputuan muktamad tentang perkara tertangguh serta isu lain yang telah dibincangkan kedua-dua pihak.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-18 di sini hari ini, kedua-dua pemimpin menyambut baik perbincangan yang sedang diadakan bagi membolehkan peruntukan yang terkandung dalam Pertukaran Surat mengenai akses maritim, dilaksanakan.

"Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin menggesa agar usaha dipergiatkan untuk membolehkan perbincangan dimuktamdkan dengan segera," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka terhadap kerjasama maritim dan menggesa pegawai masing-masing supaya terus berbincang bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang itu untuk membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman mengenai kerjasama maritim.

Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah juga mengulangi tentang kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian, penerangan, teknologi, komunikasi dan percukaian, serta menyuarakan harapan agar kedua-dua pihak dapat memuktamadkan dokumen berkenaan bagi meningkatkan kerjasama dua hala.

Kedua-dua pemimpin mengambil maklum tentang kewujudan kerjasama dan perkongsian kukuh antara Petronas dan PetroleumBRUNEI, yang melampaui Bidang Aturan Komersial (CAA), termasuk kemajuan dalam aktiviti cari gali di bawah Perjanjian Perkongsian Pengeluaran bagi Blok N dan Blok Q serta di negara ketiga seperti Kanada.

Mereka juga maklum bahawa Brunei Darussalam dan Kumpulan Kerja Bersama Penggunaan Petronas berjalan lancar hingga tercapainya perjanjian penggunaan secara formal melibatkan Medan Minyak Kinabalu West dan Maharajalela North, yang menjadi keutamaan dan pelaksanaan secara lancar aturan peruntukan berkaitan medan minyak Gumusut/Kakap dan Geronggong/Jagus-East. 

Kedua-dua pemimpin menyambut baik pemeteraian pengumuman bersama PetroleumBRUNEI dan Petronas untuk meneruskan kerjasama di Myanmar. 

Kenyataan itu berkata kedua-dua pemimpin juga merujuk kembali perbincangan yang mereka adakan pada Perundingan Pemimpin Tahunan lepas mengenai kerjasama perikanan antara Malaysia dan Brunei Darussalam, termasuk berkaitan kawasan penangkapan ikan tradisional.

Mereka juga mengambil maklum bahawa pegawai kedua-dua negara sedang membincangkan perkara itu dan berharap ia dapat segera dimuktamadkan agar satu memorandum persefahaman mengenai kerjasama perikanan dapat ditandatangani.

Kata kenyataan itu kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk berusaha meningkatkan kerjasama ekonomi antara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak. 

"Kedua-dua pemimpin gembira dengan hasil perbincangan mengenai pembentukan usaha sama berkaitan Pusat Bersepadu Haiwan Ternakan Keningau (KILC) dan usaha meneroka potensi kerjasama ekonomi dalam bidang baharu untuk kepentingan bersama.

"Kedua-dua pemimpin juga berpuas hati dengan usaha berterusan yang dilakukan untuk mempercepatkan pembentukan kerjasama ekonomi antara Sarawak dan Brunei Darussalam, terutama dalam bidang kerjasama tenaga," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu seterusnya berkata dua pemimpin berkenaan juga gembira dengan peningkatan perdagangan dua hala dan aliran pelaburan antara kedua-dua negara.

Mereka menyeru sektor swasta dari kedua-dua negara supaya meningkatkan kerjasama untuk meluaskan perdagangan dua hala dan kerjasama pelaburan untuk mengukuhkan lagi integrasi ekonomi di rantau ini ke arah pembentukan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015, kata kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin bersetuju Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-19 diadakan di Brunei Darussalam pada tahun depan. 

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin memuji pasukan teknikal bersama yang bertugas dengan cemerlang untuk menandakan sempadan bersama dan mengukur sempadan darat antara Malaysia dan Brunei Darussalam, serta berpuas hati dengan kemajuan besar yang dicapai dalam urusan penandaan sempadan bagi sebahagian daripada kawasan keutamaan yang dikenal pasti.

Mereka juga menyambut baik penggunaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kerja ukur hidrografik bersama untuk menentukan sempadan dari Sungai Pandaruan dan Sungai Menunggol hingga ke titik paling hujung masing-masing mengikut Perintah Perkenan (OIC) Sarawak (Definisi Sempadan) pada 24 Mac 2014. 

"Untuk terus melangkah ke hadapan, kedua-dua pemimpin menyeru agar pasukan teknikal bersama itu terus memberi komitmen untuk mempercepatkan usaha memuktamadkan kerja menanda sempadan bersama dan mengukur sempadan darat mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.

Artikel Sebelum

Azmin Dakwa Tidak Kenal Faekah

Artikel Berikut

Artikel Lain