suria

Rumah Rakyat Musnah Dalam Kebakaran

PORT DICKSON: Sebuah Rumah Rakyat di Pengkalan Durian, Linggi dekat sini musnah dalam kebakaran tengah hari Isnin. 

14 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan Rembau dikejarkan ke tempat kejadian.

Turut membantu tiga anggota pasukan bomba sukarela dari Linggi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang Mohd Izwan Md Said berkata pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.09 tengah hari.

Beliau berkata dalam kejadian itu, sebuah rumah musnah. Api yang merebak mengakibatkan sebuah rumah bersebelahan turut terbakar 40 peratus manakala dua buah lagi terbakar 30 peratus.

"Empat unit rumah berkenaan didiami 14 anggota keluarga. Mereka sama ada sempat menyelamatkan diri atau tiada di rumah semasa kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pasukan bomba mengambil masa hampir satu jam untuk mengawal api dan memadam kebakaran sepenuhnya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Rumah Rakyat, kebakaran

Artikel Lain