suria

Warga Emas Baharu Bebas Dari Penjara Di Sebalik Kecurian 13 Kereta

KUALA LUMPUR: Dibebaskan dari penjara pada Julai, seorang pencuri kereta yang bergerak secara bersendirian melakukannya lagi dengan mencuri 13 buah kereta dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Permai di sini sekitar pukul 4 petang Selasa lalu dan memberi petunjuk kepada polis untuk mendapatkan semula 12 buah kereta Perodua Kancil dan Mini Cooper lama.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata, suspek dibebaskan dari penjara pada Julai selepas menjalani hukuman lebih dari dua tahun kerana kesalahan mencuri kereta.

"Dia adalah seorang oportunis. Dia bergerak sendiri dan sebelum memulakan langkahnya, dia akan memerhatikan kereta yang diparkir di tepi jalan di kawasan perumahan dan rumah pangsa yang tidak dijaga," Azlee memberitahu pemberita.

Beliau berkata lelaki itu akan menyembunyikan kereta yang telah dicuri di kawasan yang berbeza di seluruh bandar dan menjual bahagian-bahagian kereta untuk mendapatkan wang.

Azlee berkata lelaki itu mengakui bahawa dia tiada tempat tinggal dan tinggal di dalam kereta yang dicuri.

"Dia mandi di masjid atau kawasan rehat di lebuh raya," katanya.

Suspek, dari Kota Baru, Kelantan, mempunyai 13 rekod sebelum ini berkaitan dadah dan curi kereta.

Polis juga menemui beg sandang, wayar dan alat-alat yang digunakan untuk memecah masuk ke dalam kereta, kunci utama dan sarung raket badminton dengan pemotong logam.
curi kereta

Artikel Lain