Chun Wai berkata beliau berhak untuk mengulas mengenai keputusan yang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara, 'sama seperti rakyat Malaysia yang lain yang mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu-isu semasa'.
"Ia bukan monopoli ahli-ahli politik dan badan bukan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Chun Wai berkata beliau bukanlah satu-satunya orang yang telah mengulas mengenai isu itu.
"Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan bersederhana, kita harus memfokuskan tenaga kita untuk menyatupadukan orang ramai, tidak membuat kenyataan yang menyebabkan perpecahan," katanya.
Ketua Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim dalam satu kenyataan pada Isnin menggesa Chun Wai menghentikan 'semua provokasi' terhadap Ibrahim dan Chun Wai tidak perlu mengajar Peguam Negara bagaimana untuk melakukan tugasnya.
Di dalam kolumnya 'On The Beat' pada 2 November lalu, Chun Wai berkata Peguam Negara mungkin telah menetapkan aturan yang berbahaya bagi keputusannya untuk tidak memfailkan pendakwaan terhadap Ibrahim berdasarkan konteks dan niat - yang merupakan perkara-perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
"Pada masa akan datang, mana-mana kumpulan pelampau, dalam apa jua kepercayaan, boleh membuat panggilan pembakaran kitab suci dan kemudian menyatakan alasan sama yang menyedihkan bahawa dia hanya mempertahankan kesucian agama masing-masing," kata Chun Wai.