KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) cadangan untuk mengeluarkan satu garis panduan paras siling kadar bayaran yuran taman asuhan kanak-kanak (Taska). Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM Arfan Sulaiman berkata garis panduan itu penting sebagai rujukan kepada pihak pengusaha taska membuat penetapan kadar bayaran yang dikenakan kepada kanak-kanak dan panduan untuk ibu bapa. "Cadangan ini mungkin boleh kita perbincangkan di peringkat kementerian ...kaedah ini boleh membantu pengusaha taska sekaligus menjadi panduan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taska. "Buat masa ini kita tidak ada lagi penetapan garis panduan kadar bayaran yuran bagi taska," katanya menjawab soalan pemanggil berkenaan yuran taska yang terlalu mahal, ketika menjadi tetamu program 'Dalam Radar' terbitan Bernama Radio24 di sini, Selasa. Sementara itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke taska berdaftar dengan JKM bagi menjamin keselamatan anak mereka. Katanya, sekiranya taska itu berdaftar, kementerian boleh mengambil tindakan jika berlaku kejadian tidak diingini atau membabitkan aktiviti menyalahi undang-undang seperti penderaan terhadap kanak-kanak. Menurut Arfan, berdasarkan laporan Operasi Pemutihan Taska sehingga April, kira-kira 1,000 taska di seluruh negara dikenal pasti beroperasi secara haram dan surat peringatan telah dikeluarkan kepada pengusahanya agar mendaftar. "Semua pegawai JKM di setiap daerah diarah melakukan pemeriksaan di taska dan pusat jagaan di kawasan mereka serta mengeluarkan surat supaya pengusaha terbabit mendaftar dengan JKM. "Jika pengusah taska berdaftar dengan kita, kita akan memastikan mereka bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan supaya keselamatan adalah di tahap yang terbaik," katanya.